Ledakan Pusat Data:
Mampukah Grid Tenaga Negara Bertahan?

Laporan: Shaza Al Muzayen & Sakina Mohamed
Visualisasi data: Shaza Al Muzayen

Suntingan & terjemahan: Sakina Mohamed
Reka Laman & Grafik: Ummul Syuhaida Othman

Ledakan Pusat Data: Mampukah Grid Tenaga Negara Bertahan?

Laporan: Shaza Al Muzayen & Sakina Mohamed
Visualisasi data: Shaza Al Muzayen
Suntingan & terjemahan:: Sakina Mohamed
Reka Laman & Grafik: Ummul Syuhaida Othman

KUALA LUMPUR, 24 Dis, 2025 (Bernama) – Syarikat teknologi gergasi telah melabur berbilion ringgit ke dalam pembangunan pusat data di Malaysia, namun timbul persoalan: adakah grid tenaga nasional mampu menampung lonjakan permintaan ini?

Antara tahun 2021 hingga 30 Jun 2025, kerajaan telah meluluskan 143 projek pusat data dengan nilai pelaburan mencecah hampir RM144.4 bilion.

Biarpun angka pelaburan ini mencuri tumpuan, realiti keperluan tenaganya agak membimbangkan. Unjuran menunjukkan bahawa pusat data berpotensi menggunakan sehingga 20 peratusdaripada jumlah kapasiti elektrik negara.

Situasi ini telah mendorong penelitian lebih ketat terhadap keupayaan infrastruktur tenaga negara bergerak seiring permintaan daripada projek-projek berskala besar ini.

Bagi lebih memahami impak permintaan ini terhadap grid nasional, Garasi Bernama merujuk kepada Data Center Map, sebuah platform global yang memantau perkembangan pusat data di seluruh dunia.

Malaysia pada masa ini mempunyai 123 pusat data di seluruh negara. Fasiliti ini kebanyakannya tertumpu di Selangor (50 tapak) dan Johor (43).

Skala fizikal pusat data ini sukar dibayangkan, apatah lagi jumlah tenaga yang diperlukan untuk mengoperasikannya. Lihat sahaja pusat data hiperskala pertama Google di Malaysia yang kini sedang dibina di Elmina Business Park, Selangor dan dijangka beroperasi pada awal 2026.

Berdasarkan nota penyelidikan RHB Investment Bank, Fasa 1 projek itu melibatkan pusat data berkapasiti 100 MW, manakala Fasa 2 berpotensi menambah 200-250 MW lagi. Ini menjadikan kapasiti gabungan mencecah kira-kira 300-350 MW – cukup untuk membekalkan tenaga elektrik kepada seluruh bandar raya Kuantan.

Purata penggunaan elektrik per kapita di Semenanjung Malaysia ialah kira-kira 4,800 kWh setahun. Populasi Kuantan pada 2025 ialah 559,000 orang.


Dan Google hanyalah satu daripada banyak pemain utama. Antara Disember 2023 hingga Oktober 2024, beberapa gergasi teknologi mengumumkan pelaburan besar dalam ekosistem pusat data dan pengkomputeran awan di Malaysia, termasuk Oracle (AS$6.5 bilion), AWS (AS$6.2 bilion) dan Nvidia (AS$4.3 bilion).

Apa yang Mendorong Permintaan Tenaga?

Sebahagian besar tenaga elektrik yang digunakan pusat data adalah untuk dua fungsi utama: pengoperasian server dan memastikan server tersebut kekal sejuk serta berfungsi dengan stabil.

Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama kepada peningkatan permintaan elektrik, menambah kepada pertumbuhan berterusan perkhidmatan awan dan aktiviti digital. Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) memberi amaran bahawa AI berisiko menjadi faktor utama lonjakan penggunaan tenaga pusat data dalam tempoh terdekat.

Peningkatan ini dikaitkan dengan penambahan mendadak server khusus yang diperlukan untuk memacu teknologi AI (accelerated servers).

Mesin-mesin ini sangat intensif dari segi penggunaan tenaga. IEA mengunjurkan penggunaan elektrik accelerated servers akan meningkat sekitar 30 peratus setahun, berbanding hanya 9 peratus bagi server konvensional. 

Accelerated servers sahaja dijangka menyumbang hampir separuh daripada peningkatan bersih penggunaan elektrik pusat data global, berbanding server konvensional yang menyumbang sekitar 20 peratus.

Penggunaan elektrik pusat data di peringkat global mula meningkat dengan ketara sekitar 2017. Ini didorong pertumbuhan perkhidmatan awan, penggunaan media dalam talian dan media sosial, serta kebelakangan ini, keperluan AI terhadap pengkomputeran berprestasi tinggi.

Antara tahun 2015 hingga 2024, IEA menyatakan kapasiti accelerated servers berkembang empat kali lebih pantas berbanding kapasiti keseluruhan server, sekali gus meningkatkan ketumpatan kuasa di dalam pusat data.

Penyejukan ialah antara penyumbang utama permintaan tenaga. Apabila server menjadi semakin padat, lebih banyak elektrik diperlukan untuk mengoperasikan cip dan menyingkirkan haba yang dihasilkan.

Menurut kertas putihterbitan Electric Power Research Institute (EPRI) pada 2024, sistem penyejukan menyumbang antara 30 hingga 40 peratus daripada penggunaan tenaga pusat data.

Berapa Banyak Tenaga Digunakan Pusat Data?

IEA memberi amaran bahawa permintaan tenaga pusat data sedang melonjak dengan pantas di peringkat global.

2014

Pusat data global menggunakan 167.8 terawatt-jam (TWh) elektrik.

2024

Penggunaan meningkat kepada 415.9 TWh

2030

Angka ini dijangka naik dua kali ganda kepada 945 TWh.

“Permintaan elektrik global daripada pusat data dijangka meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Menjelang 2030, ia bakal menggunakan jumlah tenaga yang sama banyak dengan penggunaan seluruh negara Jepun pada hari ini," kata Pengarah Eksekutif IEA, Fatih Birol.

Impaknya akan lebih ketara di beberapa negara tertentu.

“Di Amerika Syarikat, pusat data dijangka menyumbang hampir separuh daripada pertumbuhan permintaan elektrik. Di Jepun, lebih separuh, manakala di Malaysia, sehingga satu perlima,” katanya.

Unjuran ini selari dengan anggaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dipetik dalam laporan penyelidikan Kenanga, yang menganggarkan bahawa menjelang 2035, pusat data di Malaysia berpotensi menarik lebih daripada 5 gigawatt (GW) elektrik. Ini bersamaan kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kapasiti penjanaan elektrik negara.

Satu lagi nota penyelidikan Kenanga yang memetik data TNB turut mendedahkan jurang besar antara penggunaan semasa pusat data dan kapasiti yang sedang dibangunkan untuk masa hadapan.

Setakat Mac 2025, pusat data menggunakan sekitar 485 megawatt (MW) elektrik daripada grid. Ini hampir lima kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Namun, angka ini hanyalah sebahagian kecil daripada gambaran sebenar.

Terdapat 21 projek yang kini beroperasi sebenarnya telah menempah kapasiti grid sehingga 2.8 GW. Ini bermakna fasiliti tersebut kini beroperasi pada tahap kurang daripada 20 peratus potensi maksimumnya.

Dan senarai menunggu terus bertambah. Sebanyak 17 projek (2.9 GW) sedang dalam pembinaan manakala lima lagi (0.7 GW) baru sahaja menandatangani perjanjian bekalan, menjadikan jumlah potensi permintaan mencecah 6.4 GW merangkumi 43 projek.

Untuk membayangkan beban tersebut: jumlah itu melebihi keseluruhan kapasiti penjanaan kuasa negeri Sarawak pada masa ini (≈ 5.7 GW).

Angka-angka projek dalam perancangan ini penting kerana grid nasional perlu dirancang berdasarkan keperluan puncak yang dinyatakan oleh pemaju – bukan sekadar jumlah tenaga yang digunakan hari ini.

Kenanga menganggarkan Malaysia mungkin memerlukan kapasiti penjanaan baharu antara 6 hingga 8 GW menjelang 2030 bagi menampung permintaan yang kian meningkat. Ini jelas memperlihatkan betapa pantasnya perancangan sektor tenaga kini dipacu oleh gelombang pembangunan pusat data.

Permintaan yang Semakin Meningkat

Permintaan tenaga di Semenanjung Malaysia telah meningkat sejak beberapa dekad lalu, dan kini semakin kerap mencatat paras tertinggi baharu. Menurut Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), kehendak maksimum elektrik meningkat daripada 3.4 GW pada 1990 kepada 20 GW pada 2024.

Pengguna tenaga terbesar biasanya terdiri daripada pusat data hiperskala, terutamanya fasiliti yang dioptimumkan untuk AI. Menurut IEA, sebuah pusat data hiperskala berfokuskan AI mampu memiliki kapasiti 100 MW atau lebih, menyamai jumlah penggunaan elektrik tahunan bagi 100,000 isi rumah.

Pada awal November 2025, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ketika itu, Liew Chin Tong, memberitahu Parlimen bahawa data Suruhanjaya Tenaga menunjukkan pusat data menggunakan 603 MW elektrik setakat Jun 2025.

Jumlah ini mewakili kira-kira 47 peratus daripada kehendak maksimum tenaga yang diisytiharkan, iaitu sebanyak 1,276 MW.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap “permohonan spekulatif” serta risiko aset terdampar sekiranya infrastruktur dibina untuk permintaan yang tidak direalisasikan mengikut jadual. Beliau berkata kerajaan mahu pusat data mencapai kadar penggunaan 85 peratus daripada kehendak maksimum yang diisytiharkan bagi menyokong kestabilan keseluruhan grid.

Unjuran jangka panjang kerajaan menjelaskan mengapa isu ini kini menjadi fokus utama perancangan tenaga nasional. Awal tahun ini, PETRA mengunjurkan permintaan elektrik pusat data berpotensi mencecah 12.9 GW menjelang 2030 dan 21 GW menjelang 2045.

Perkembangan ini mendorong Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif meluluskan Pelan Pembangunan Penjanaan Semenanjung 2024-2050. Pelan ini merangkumi penjanaan tenaga baharu berasaskan gas serta peranan yang lebih besar bagi tenaga boleh baharu untuk menampung pertumbuhan permintaan.

Secara keseluruhannya, angka-angka ini menggambarkan cabaran besar yang sedang dihadapi oleh grid nasional.

Ketika permintaan elektrik semakin meningkat, kehadiran pusat data baharu terus menambah beban kepada "senarai menunggu" masa hadapan. Perancang tenaga kini berusaha membezakan antara kapasiti yang diisytiharkan, yang telah dikontrak, dan jumlah tenaga sebenar yang sedang digunakan pada setiap peringkat pelaksanaan.

Siapa yang Menanggung Kosnya?

Pengoperasian pusat data tidak semestinya menaikkan tarif elektrik secara langsung, namun ia boleh mendorong kepada kos naik taraf grid yang mahal  Persoalan utamanya ialah bagaimana kos tersebut dibahagikan.

Ireland menjadi titik rujukan yang berguna tentang betapa cepatnya isu ini boleh mendapat perhatian umum yang teliti. Pejabat Statistik Pusat Ireland melaporkan bahawa pusat data menyumbang 22 peratus daripada penggunaan elektrik bermeter pada tahun 2024, meningkat daripada 5 peratus pada tahun 2015.

Pada tahun 2024, data turut menunjukkan bahagian penggunaan pusat data melebihi penggunaan kediaman bandar (18 peratus) dan kediaman luar bandar (10 peratus).

Apabila kekangan bekalan semakin mendesak, kebimbangan terhadap keandalan grid meningkat. Ini termasuk risiko gangguan bekalan elektrik secara bergilir, serta kesannya terhadap keupayaan negara mencapai sasaran iklim. 

Pengendali grid Ireland, EirGrid, pada tahun 2022 menyatakan ia tidak akan membekalkan tenaga kepada pusat data baharu di wilayah Dublin sehingga tempoh yang bakal dinyatakan. Namun laporan ketika itu membayangkan penyambungan pusat data ke grid wilayah itu hanya akan berlaku selepas tahun 2028.

Pada Disember 2025, pengawal selia utiliti Ireland, Suruhanjaya Pengawalseliaan Utiliti (CRU), menerbitkan dasar penyambungan baharu untuk pengguna tenaga besar, termasuk pusat data.

Di bawah peraturan ini, pusat data baharu mesti menyediakan tenaga elektrik tambahan daripada sumber boleh diperbaharui atau penjanaan fleksibel lain. Sumber-sumber ini mesti mengambil bahagian dalam pasaran elektrik borong.

Harga elektrik juga kekal sebagai isu kemampuan yang dipantau rapi. Eurostat melaporkan bahawa pada separuh pertama tahun 2024, harga elektrik isi rumah Ireland (termasuk cukai dan levi) adalah yang kedua tertinggi di Kesatuan Eropah pada kadar €37 bagi setiap 100 kWj.

Pengalaman Ireland ini menonjolkan persoalan lebih besar tentang perkongsian kos apabila pengguna elektrik berskala besar memasuki sesebuah sistem. 

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, berkata satu risiko utama ialah “kos sosial” (cost socialisation). Ini berlaku apabila sebahagian kos mengurus risiko yang dibawa oleh industri baharu akhirnya ditanggung oleh keseluruhan sistem dan diterjemahkan ke dalam tarif.

“Ketelusan proses dan pendekatan kawal selia boleh membantu mengurangkan risiko ini,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan boleh menubuhkan satu pasukan khusus untuk menilai teknologi baharu serta kesannya.

Di Malaysia, kerajaan telah berusaha menangani kebimbangan ini secara langsung. Pada Disember 8, 2025, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ketika itu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, memberitahu Dewan Negara bahawa kos berkaitan naik tarafinfrastruktur grid elektrik dan air bagi menyokong pusat data akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju. Langkah ini bertujuan memastikan tiada beban tambahan dikenakan ke atas pengguna, khususnya pengguna domestik.

Beliau berkata naik taraf besar pada grid diperlukan semasa Tempoh Kawal Selia Keempat, yang bermula dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027. Ini susulan lebih daripada 7 GW permintaan komited (committed demand) daripada pusat data, yang dijamin melalui Perjanjian Bekalan Elektrik dengan TNB, di samping projek yang telah siap setakat September 2025.

“Dalam hal ini, kerajaan telah memperkenalkan pendekatan ‘pengguna membayar’ di bawah struktur tarif baharu, di mana pengendali pusat data dikehendaki menanggung kos tambahan bagi pengukuhan infrastruktur grid,” katanya, sambil menambah bahawa kategori tarif Voltan Ultra Tinggi (UHV) khusus turut diperkenalkan bagi pusat data yang beroperasi pada tahap voltan tinggi dan ekstra tinggi.

Ini dapat dilihat ketika lawatan Garasi Bernama baru-baru ini ke pusat data hiperskala Google yang sedang dibangunkan di Selangor. Kami mendapati sebuah pencawang sedang dibina di tapak tersebut.

Ini tidak semestinya bermaksud pusat data tersebut akan menarik lebih banyak elektrik berbanding kemampuan kawasan sekeliling. Sebaliknya, kemudahan berskala besar lazimnya memerlukan sambungan grid yang khusus dan berkeandalan tinggi, serta infrastruktur elektrik di tapak untuk menurunkan voltan dan mengagihkan kuasa dengan selamat, khususnya apabila bekalan dirancang pada tahap voltan yang lebih tinggi.

(Pandangan udara pusat data hiperskala pertama Google di Bandar Elmina, Selangor, menunjukkan sebuah pencawang sedang dalam pembinaan di tapak. Foto: Hafzi Mohamed/BERNAMA)

Infrastruktur sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa bagi pembangunan hiperskala dan sememangnya telah dijangka dalam kerangka perancangan Malaysia.

Garis panduan perancangan PLANMalaysia bagi pusat data mencerminkan keperluan ini, termasuk keperluan pencawang pengambilan utama yang bersesuaian dengan saiz kemudahan, serta cadangan penggunaan konfigurasi voltan lebih tinggi bagi pembangunan berskala besar.

Garis panduan tersebut turut menekankan piawaian kecekapan seperti Power Usage Effectiveness, keperluan penjanaan sandaran yang mencukupi, serta penglibatan awal dengan TNB sebelum pelaburan dan pembelian tanah dimuktamadkan.

Secara keseluruhan, dasar dan keperluan perancangan ini mencerminkan satu peralihan pendekatan yang jelas. Pengembangan grid tidak lagi dianggap sebagai prasyarat untuk menarik pelaburan pusat data. Sebaliknya, pertumbuhan dijangka berlaku seiring dengan permintaan yang telah disahkan, infrastruktur elektrik di tapak, serta satu kerangka di mana pemaju menanggung kos untuk mengukuhkan grid.

-- BERNAMA