Laporan: Shaza Al Muzayen & Sakina Mohamed
Visualisasi data: Shaza Al Muzayen
Editor & terjemahan: Sakina Mohamed
Pereka grafik & reka laman: Ummul Syuhaida Othman
Laporan: Shaza Al Muzayen & Sakina Mohamed
Visualisasi data:
Shaza Al Muzayen
Editor & terjemahan:
Sakina Mohamed
Pereka grafik & reka laman:
Ummul Syuhaida Othman



KUALA LUMPUR, 19 Dis, 2025 (Bernama) -- Malaysia sedang giat membangunkan pusat data, termasuk fasiliti hiperskala bagi menyokong kecerdasan buatan, perkhidmatan awan dan penstriman. Namun, usaha ini sedang dipacu dalam satu dekad yang menurut para saintis akan jauh lebih panas berbanding iklim yang menjadi asas reka bentuk industri tersebut.
Unjuran terkini Pertubuhan Meteorologi Dunia menunjukkan bahawa bagi setiap tahun antara 2025 hingga 2029, purata suhu global berhampiran permukaan bumi dijangka meningkat antara 1.2 hingga 1.9 darjah Celsius berbanding tempoh pra-perindustrian (1850 hingga 1900).
Terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa sekurang-kurangnya satu daripada tahun-tahun tersebut akan lebih panas daripada 2024, yang sudah pun direkodkan sebagai tahun paling panas setakat ini. Selain itu, terdapat 86 peratus kemungkinan bahawa sekurang-kurangnya satu tahun akan mencatat lonjakan suhu melebihi 1.5 darjah Celsius berbanding paras pra-perindustrian.
Dalam dunia yang lebih panas itu, pusat data bukan sahaja menjadi lebih besar dan lebih banyak. Mereka juga lebih terdedah kepada ekstrem haba, serta kos dan risiko yang timbul daripada keperluan mengekalkan ribuan server pada suhu sejuk.
Pusat data perlu beroperasi tanpa henti, 24 jam sehari. Hampir semua tenaga elektrik yang digunakan untuk operasi server akhirnya bertukar menjadi haba. Jika haba ini tidak disingkirkan dengan segera, peralatan akan menurunkan prestasi bagi melindungi kelangsungan diri, sekali gus menjejaskan keupayaan pemprosesan. Dalam senario paling teruk, operasi boleh terhenti sepenuhnya.
Bagi mengurangkan risiko tersebut, American Society of Heating, Refrigerating and Air-Conditioning Engineers (ASHRAE) mengesyorkan suhu persekitaran berada di sekitar 18 hingga 27 darjah Celsius bagi kebanyakan peralatan teknologi maklumat moden. Namun, julat ini merupakan zon sempit bagi pengoperasian selamat apabila suhu luar mencecah pertengahan 30-an darjah Celsius dan tahap kelembapan pula tinggi.
Risiko ini bukan sekadar teori. Pada 2022, United Kingdom dilanda gelombang haba yang mencatatkan suhu melebihi 40 darjah Celsius. Dalam tempoh itu, pusat data milik Google dan Oracle di London terpaksa dihentikan operasi selama beberapa jam apabila sistem penyejukan gagal berfungsi dengan baik dalam suhu yang memecahkan rekod. Akibatnya, laman web di Eropah dan Amerika Syarikat yang bergantung kepada perkhidmatan awan syarikat-syarikat tersebut mengalami gangguan selama berjam-jam.
Beberapa bulan kemudian, pada September 2022, satu lagi gangguan pusat data berlaku, kali ini di Amerika Syarikat. Twitter (kini dikenali sebagai X) kehilangan sebuah pusat data utama di Sacramento, California, ketika bandar itu dilanda gelombang haba yang teruk. Memo dalaman daripada naib presiden kejuruteraan syarikat ketika itu menggambarkan berlakunya “penutupan sepenuhnya peralatan fizikal” akibat “cuaca ekstrem”, selepas suhu di bandar tersebut melonjak sehingga ke 47 darjah Celsius. Bagi mengelakkan gangguan berpanjangan, trafik terpaksa dialihkan ke pusat data di negeri lain.
Semua insiden tersebut bukan berlaku di pusat data yang kecil atau yang direka dengan piawaian rendah. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa apabila gelombang haba melangkaui andaian reka bentuk asal, sistem penyejukan boleh menjadi titik kegagalan utama – walaupun di pusat data yang mempunyai tahap sandaran tinggi.
Malaysia sememangnya panas dan lembap. Suhu purata harian lazimnya sekitar 31 hingga 33 darjah Celsius, manakala suhu waktu malam biasanya antara 21 hingga 24 darjah Celsius. Tahap kelembapan relatif pula sering menghampiri 80 peratus.
Unjuran iklim dalam Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 menunjukkan bahawa suhu purata tahunan di Malaysia berkemungkinan meningkat sekitar 1 hingga 1.5 darjah Celsius menjelang 2050.
Menjelang 2100, peningkatan ini boleh mencecah 1.7 hingga 2.1 darjah Celsius, sekali gus memburukkan stres haba dan meningkatkan keperluan air. Ketika itu, Sabah dan Sarawak dijangka mengalami peningkatan suhu yang lebih tinggi berbanding apa yang pernah direkodkan sebelum ini.
Selain trend pemanasan jangka panjang itu, buletin terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan betapa kerapnya negara kini mengalami episod cuaca panas melampau.
Beberapa amaran gelombang haba Tahap 1 – yang ditakrifkan sebagai suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut – telah dikeluarkan di Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Pada 29 Julai 2025, amaran gelombang haba Tahap 2 pula dikeluarkan bagi Kota Marudu di Sabah, menandakan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Bagi kebanyakan orang, cuaca sebegini membawa kemungkinan malam yang lebih pengap, kekurangan bekalan air dan langit berjerebu.
Namun bagi pusat data, keadaannya jauh berbeza. Sistem penyejukan perlu bekerja tanpa henti, berdepan haba dan kelembapan sejak awal pagi. Di sesetengah kawasan, hujan yang semakin berkurangan langsung tidak membantu meringankan beban, sedangkan server tetap perlu beroperasi dalam julat suhu selamat iaitu antara 18 -27 darjah Celsius.

“Tidak seperti di negara beriklim sederhana yang boleh menggunakan “penyejukan percuma” melalui udara luar pada sebahagian besar tahun, pusat data di Malaysia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada sistem penyejukan mekanikal,” kata jurutera kelestarian, CK Tang, kepada Garasi Bernama. “Ini bermakna kita tidak dapat menikmati penjimatan tenaga bermusim seperti yang diperoleh pusat data di negara beriklim lebih sejuk.”
Cabaran utama di Malaysia, tambah Tang, adalah untuk meminimumkan penggunaan tenaga dalam iklim tropika sambil mengekalkan kawalan suhu dan kelembapan yang ketat, seperti yang disyorkan piawaian ASHRAE.
Dalam erti kata lain, pusat data di Malaysia terpaksa berdepan dengan apa yang boleh dianggap sebagai “penalti tropika”. Haba dan kelembapan tidak menghalang operasi pusat data, tetapi ia menjadikan proses penyejukan jauh lebih intensif dari segi tenaga. Selain itu, ia mengecilkan margin keselamatan apabila gelombang haba melanda.Di bilik server, suhu bukan satu-satunya faktor yang perlu dikawal. Tahap kelembapan juga sama penting.
Suhu yang terlalu tinggi boleh memendekkan jangka hayat peralatan, menjejaskan prestasi dan meningkatkan penggunaan tenaga, kata Tang yang juga pengerusi Jawatankuasa Green Building Index Data Centre Tool Development.
“Kelembapan yang tinggi pula boleh menyebabkan risiko kondensasi, manakala kelembapan terlalu rendah meningkatkan risiko pelepasan statik – kedua-dua ini boleh membawa kepada kegagalan sistem.
“Kawalan persekitaran yang stabil amat penting untuk memastikan ketahanan perkakasan dan kestabilan operasi,” jelasnya lagi.
Server moden lebih lasak berbanding generasi terdahulu. Kebanyakannya mampu beroperasi dengan selamat melepasi julat suhu yang disyorkan ASHRAE untuk tempoh singkat, dan sesetengah pusat data – khususnya kemudahan hiperskala yang lebih baharu – sengaja beroperasi hampir pada 27 darjah Celsius bagi menjimatkan tenaga.
Namun di Malaysia, pendekatan ini hanya boleh dilakukan dengan selamat jika sistem penyejukan direka untuk mengawal suhu dan kelembapan dengan ketat. Pengendali pusat data pula harus bersikap realistik dalam menilai tahap risiko yang sanggup ditanggung.
Bagi kebanyakan pusat data berskala besar, penyejukan bukan sekadar soal udara sejuk. Ia turut bergantung kepada air. Sistem air sejuk (chilled-water system) dan menara pendingin (cooling towers) digunakan secara meluas, dengan air dialirkan melalui penukar haba untuk menyerap haba daripada server sebelum haba tersebut dilepaskan ke luar bangunan.
Bagi menara pendingin dan sistem penyejukan berasaskan penyejatan lain, sebahagian air sengaja diwapkan bagi membawa keluar haba. Ini menyebabkan bekalan air yang hilang perlu diganti secara berterusan.
Forum Ekonomi Dunia menganggarkan bahawa haba melampau, kemarau dan bahaya iklim lain boleh meningkatkan kos operasi pusat data di peringkat global sekitar AS$81 bilion (≈RM332.9 bilion) setahun menjelang 2035, dan AS$168 bilion (≈RM690 bilion) setahun menjelang 2065.
Dalam jangka masa lebih panjang, kos operasi tambahan ini boleh mencecah sekitar AS$3.3 trilion (≈RM13.6 trilion) menjelang 2055.
Malaysia sendiri sudah merasai kesan kemarau berpanjangan terhadap sistem bekalan air. Fenomena El Nino pada 1998 menyumbang kepada keadaan kemarau yang mencetuskan krisis air Lembah Klang, apabila paras empangan merosot dan catuan air menjejaskan kira-kira 1.8 juta penduduk selama 150 hari.
Manakala pada 2014, kesan musim kemarau menjadi bertambah buruk kerana beberapa isu infrastruktur. Akibatnya beberapa empangan di Selangor berada pada paras kritikal dan sekali lagi membawa kepada catuan air berskala besar.

“Kita perlu ingat bahawa negara ini pernah dilanda El Nino dan kesannya yang besar terhadap bekalan air,” kata Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran. “Adalah satu tanggungjawab yang besar untuk memastikan bekalan air kepada rakyat terus terjamin dalam usaha memenuhi keperluan pelabur.”
Kebimbangan mengenai keupayaan mendapatkan bekalan air yang mencukupi untuk penyejukan pusat data kini bukan lagi sekadar andaian di Malaysia.
Pada November 2025, kerajaan negeri Johor mengumumkan bahawa ia tidak lagi akan meluluskan pusat data Tier 1 dan Tier 2, yang diklasifikasikan sebagai pengguna air tinggi. Ini adalah kerana fasiliti demikian boleh menggunakan sehingga 50 juta liter air sehari.
Sebaliknya, Johor merancang untuk mengalihkan pelaburan baharu ke projek Tier 3 dan Tier 4, yang menggunakan sekitar 200,000 liter air sehari.
Secara keseluruhan, insiden-insiden ini serta perubahan dasar yang berlaku menunjukkan bahawa bekalan air untuk tujuan penyejukan tidak lagi boleh dianggap terjamin, sekali gus membentuk cara Malaysia menilai dan mengawal penggunaan air dalam sektor pusat data.
Untuk memahami jumlah air yang digunakan sesebuah pusat data bagi menjalankan fungsinya, pihak industri lazimnya merujuk kepada satu ukuran yang dikenali sebagai Water Usage Effectiveness (WUE).
Ringkasnya, WUE membandingkan jumlah keseluruhan air yang digunakan oleh sesebuah pusat data – yang kebanyakannya untuk tujuan penyejukan – dengan tenaga yang digunakan oleh peralatan teknologi maklumatnya. Ia biasanya dinyatakan dalam meter padu bagi setiap megawatt-jam (m³/MWh).
Semakin rendah nilai WUE, semakin cekap penggunaan air sesebuah pusat data. Secara teori, WUE yang hampir sifar menandakan penggunaan air yang sangat minimum.
Di Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengesyorkanagar pusat data direka dengan WUE sekitar 2.2 m³/MWh, dengan sasaran untuk menurunkannya kepada 2.0 m³/MWh dalam tempoh sedekad akan datang.
-min.png)
Garis panduan yang sama turut menasihatkan supaya pusat data tidak dibangunkan di kawasan yang dibebani kekurangan air tinggi di Semenanjung Malaysia, dengan mengutamakan lokasi yang mempunyai Water Stress Index di bawah 0.8.
Pada masa yang sama, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut mengetatkan peraturan berkaitan cara pusat data mendapatkan dan menggunakan air. Garis Panduan Bekalan Air untuk Pembangunan Pusat Datayang berkuat kuasa pada September 1, 2025, mewajibkan pemaju, pemilik dan pengendali pusat data mengemukakan pelan bekalan air yang terperinci, termasuk anggaran permintaan harian yang dipecahkan antara kegunaan domestik dan penyejukan. Mereka juga dikehendaki mengutamakan penggunaan air dipulih guna berbanding air yang boleh diminum.
Garis panduan tersebut turut menetapkan bahawa pengiraan WUE mesti mematuhi piawaian ISO/IEC 30134-9, dengan had maksimum 2.2 m³/MWh. Selain itu, pengendali perlu mengemukakan pelan jangka panjang untuk menurunkan lagi had maksimum itu melalui penggunaan sistem penyejukan yang lebih cekap serta sumber alternatif seperti air kitar semula atau air tadahan.
Bagi projek pusat data baharu, SPAN mewajibkan penyimpanan sekurang-kurangnya dua hari keperluan dalam tangki simpanan dalaman, dan dalam kes tertentu, sekurang-kurangnya sehari keperluan dalam takungan perkhidmatan luaran tambahan.
Tangki berasingan serta sub-meter bagi kegunaan domestik dan sistem penyejukan juga perlu disediakan, bagi memastikan penggunaan air untuk penyejukan dapat dipantau dan diurus dengan lebih teliti.
Ketika Malaysia semakin mengukuhkan peranannya sebagai hab pusat data, persoalannya kini bukan lagi sama ada kemudahan ini boleh beroperasi dalam iklim panas dan lembap, tetapi sejauh mana ia direka dengan bijak untuk menghadapi realiti tersebut.
Bagi Tang, kekangan haba dan air tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang, sebaliknya sebagai syarat asas yang perlu diambil kira sejak peringkat awal reka bentuk.
“Penyelesaian penyejukan berasaskan air lazimnya menawarkan kecekapan tenaga yang lebih baik kerana keupayaannya mencapai suhu yang lebih rendah,” katanya.
Namun dalam iklim Malaysia, kelebihan kecekapan ini boleh datang bersama penggunaan air yang tinggi. Ini terutamanya jika sistem bergantung banyak kepada penyejukan yang berasaskan penyejatan dan pusat data pula terus beroperasi pada tetapan suhu lama yang lebih rendah.
Di sinilah, menurut Tang, pilihan reka bentuk memainkan peranan sama penting dengan faktor lokasi. Fasiliti yang lebih baharu boleh menggabungkan beberapa strategi serentak.
•
Beroperasi lebih hampir kepada had atas julat suhu yang disyorkan ASHRAE bagi mengurangkan penggunaan tenaga untuk penyejukan.
•
Menggunakan penyejuk udara, penyejuk kering (dry coolers) dan penukar haba berkecekapan tinggi jika sesuai, bagi mengurangkan kebergantungan kepada air.
•
Menggunakan teknologi penyejukan cecair seperti sistem direct-to-chip atau rendaman (immersion) menggunakan bendalir dielektrik untuk menyingkirkan haba dengan lebih berkesan daripada rak berketumpatan tinggi, khususnya rak server AI. Ini di samping mengurangkan penggunaan air dengan ketara atau tidak menggunakannya langsung (bagi pusat data yang direka sebegitu)
Pada masa yang sama, penggunaan air terawat atau air kitar semula dalam sistem gelung tertutup yang direka dengan teliti boleh mengurangkan tekanan ke atas bekalan air minuman, asalkan kualiti air dikawal dengan baik bagi mengelakkan masalah mendapan dan kakisan.
“Apabila direka dengan betul, sistem penyejukan moden mampu mencapai kecekapan tenaga dan air yang sangat baik, walaupun dalam persekitaran yang panas dan lembap secara konsisten seperti Malaysia,” kata Tang. “Prestasi yang lemah dalam iklim sebegini selalunya berpunca daripada reka bentuk yang tidak optimum, bukannya had iklim itu sendiri.”
Piarapakaran pula menambah bahawa teknologi bahan penyejuk akan menjadi pemacu penting pada tahun-tahun akan datang. Jika kerajaan dan operator pusat data menganggap inovasi penyejukan sebagai keutamaan bersama dan bukan sekadar tanggungjawab pemilik kemudahan semata-mata, pasaran ini boleh digerakkan ke arah bahan penyejuk dan reka bentuk sistem generasi baharu yang menawarkan tahap kebolehpercayaan yang sama dengan penggunaan air dan tenaga yang lebih rendah.
Kesimpulannya, kelangsungan ledakan pusat data Malaysia bergantung pada satu perkara asas: sejauh manakah haba dan air dapat diurus secara cekap dan mampan dalam iklim yang semakin panas.
-- BERNAMA